Bayi Tiga Bulan Dijangkiti Virus Polio, Kes Pertama Selepas 27 Tahun

SELEPAS 27 tahun Malaysia bebas daripada polio, satu kes disahkan dijangkiti virus itu membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Bayi Tiga Bulan Dijangkiti Virus Polio, Kes Pertama Selepas 27 Tahun
Gambar hiasan

Beliau berkata, hasil ujian pengesahan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Makmal Serantau Polio di Australia, virus itu mempunyai kaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina.

ARTIKEL MENARIK: Penduduk Terkejut, Mayat Wanita Reput Lebih Setahun Dalam Rumah Sewa

“Seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1),” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bayi itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, tetapi memerlukan bantuan pernafasan.

“Memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media dipohon tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit.


“Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang sudah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV).


Loading...


“Virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti berkenaan, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus kembali aktif.

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, untuk mereka yang sudah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio.

Beliau berkata, keadaan itu sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak itu bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

“Aktiviti pencarian kes acute flaccid paralysis (AFP), proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu sudah dijalankan. Sehingga 5 Disember lalu, seramai 646 orang sudah diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan di kawasan berkenaan termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu dan sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio.


Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan virus polio yang dikesan tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain berisiko.

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio tinggi iaitu melebihi 95 peratus. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah pencegahan sudah diberikan termasuk penggunaan tandas sanitari dan penjagaan kebersihan diri termasuk tangan.

“Perlu diingatkan penyakit polio seperti banyak penyakit lain ditularkan melalui “fecal oral route.” Penduduk dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak Kementerian Kesihatan sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian tidak mendapatkan rawatan.

“Untuk makluman, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama negara Rantau Pasifik Barat diisytiharkan bebas daripada penyakit polio,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kejayaan pembasmian penyakit itu berikutan pencegahan melalui vaksin polio diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini.

“Program ini dimantapkan lagi dengan pertukaran cara pemberian vaksin daripada secara oral kepada secara suntikan (Inactivated Polio Vaccine – IPV menggunakan virus polio yang sudah dimatikan) pada 2008.

“Langkah pertukaran ini dibuat bagi menghindari risiko berlakunya circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV). Bagi mencegah penyakit polio daripada berlaku, liputan imunisasi harus sentiasa melebihi 95 peratus,” katanya.

Sumber: http://cempedakcheese.com via Sehinggit | Segalanya di Sini
-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post