Aini mengidam jem nenas dan roti keras yang disediakan dalam pek makanan askar. Mengidam sewaktu mengandung bukanlah satu perkara yang asing lagi. Malah seramai 50 hingga 90 peratus wanita hamil dikatakan akan mengalami simptom mengidam ini.
Namun bagi Nurul Aini Yunus, 32, pengalaman mengandung dan mengidam kali ini agak mencabar apabila dia tiba-tiba mahu makan Rangsum Tempur Bekalan Kering (RTBK) atau pek makanan yang disediakan khas untuk pasukan tentera. Perkongsian mengenai keinginannya di laman TikTok pada 14 April lalu tular serta mendapat lebih setengah juta tontonan setakat ini.
ARTIKEL MENARIK:Tular abang sanggup jaga adik sewaktu ayah tengah solat. Tapi ini pula yang dia buat sebaik sahaja ayah selepas solat.
Ramai warganet membantu dengan melakukan tag kepada kenalan yang bertugas sebagai tentera.
Menurut Nurul Aini dia kini sedang hamil anak keempat setelah kehilangan bayi kembarnya pada penghujung tahun lepas. “Saya pernah makan makanan askar ni masa kecil sebab ayah saya dulu askar, jadi bila dia balik operasi kami enam beradik memang akan berebut. Bila dah besar ni tak dapat nak merasa sebab dalam kalangan keluarga tak ada yang jadi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mengandung kali ni tiba-tiba je mengidam makanan tu… tak tau apa puncanya. Tapi saya suka tengok anggota ATM yang pakai baju celoreng dan mengandung kali ni semangat saya berkobar-kobar… anak lelaki agaknya. Anak yang lain semua perempuan, tapi saya tak kisah lelaki atau perempuan yang penting sihat,” katanya. Tambah Nurul Aini dia berasa terkejut serta terharu melihat keprihatinan warganet yang cuba membantunya mendapatkan makanan yang diidamkan.
“Video TikTok tu saya post sebab dah buntu sangat. Bila beritahu suami, dia cakap mana nak dapat musim-musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ni, lagi pula kami tak ada kawan ATM. Jadi saya letak di TikTok mana tahu ada yang simpan makanan tu atau ada yang tahu dekat mana saya boleh dapatkannya. Esoknya video tu jadi viral, setiap saat, setiap minit komen masuk tanpa henti, banyak sangat yang tolong tag anggota ATM sampai saya tak sempat nak balas semua komen,” katanya.
Antara individu paling awal yang menghulurkan bantuan adalah Kak Fiza (kanan).
Hasilnya beberapa individu prihatin tampil memberi makanan tersebut. “Lepas sehari video tu viral saya dapat WhatsApp dan panggilan daripada Kak Fiza dari Jitra, Kedah. Dia nampak video saya masa bangun Subuh jadi dia dan suami datang hantar sendiri ke rumah saya di Felda Sungai Tiang Pendang, Kedah. Alhamdullilah percaturan Allah itu tepat, dia hantar hamba-hambanya yang baik. Saya rasa terharu sangat masa tu,” katanya.
Mengandung kali ni tiba-tiba je mengidam tak tau apa puncanya. Tapi saya suka tengok anggota ATM pakai baju celoreng dan mengandung kali ni semangat berkobar-kobar… anak lelaki agaknya.
Tambah Nurul Aini, tak lama selepas itu, Kak Fiza menghubunginya memaklumkan berita gembira bahawa dia juga hamil dan kedua-dua mereka dijangka bersalin pada Oktober ini. Nurul Aini berkata makanan yang paling mahu dinikmatinya dalam pek askar tersebut adalah jem nenas serta roti keras.
“Masa kecil dulu saya memang suka jem nenas dengan roti keras, lepas tu bubur pulut hitam, dalca, sambal udang, sardin, kopi susu dan air teh yang dalam pek makanan tentera ni. Masa dapat makan jem nenas dengan roti keras rasa macam nak menangis, Allah je tahu perasaan gembira saya masa tu. Semua peket makanan yang saya dapat saya cium, suka sangat bau dia,” katanya.
Kak Leez (foto kanan) bersama suaminya dan Abang Kasturi antara individu yang memberi makanan askar kepada Nurul Aini.
Wanita ini berkata dia juga menerima pek makanan askar daripada dua lagi individu iaitu Kak Leez juga dari Jitra serta Abang Kasturi, seorang askar yang kini bertugas di Perak. Kak Leez nampak posting saya jadi dia pos dari Jitra, Abang Kasturi pula dia balik Kedah masa bulan puasa jadi dia hantar dekat tempat saya berniaga. Lepas tu ada lagi yang nak hantar tapi saya tolak,” katanya.
Semasa kecil Nurul Aini sering berebut makanan askar bersama enam adiknya setiap kali bapanya pulang dari operasi.
Nurul Aini berkata dia juga mempunyai kisah lain berkaitan mengidam semasa dia hamil anak pertama. “Masa mengandung anak sulung saya teringin sangat nak makan bakso, tapi dekat Pendang masa tu tak ada orang jual. Mujur masa ikut rombongan pergi Johor saya dapat makan makanan tu. Jadi bila anak saya yang sulung umur 13 tahun saya buka warung bakso sendiri sampai sekarang, itu memang azam saya sebab punyalah susah nak dapat masa mengidam dulu. Kali ni mengidam makanan askar, risau nanti saya open order makanan askar pula,” katanya berseloroh.
Kredit -
إرسال تعليق