KUDRAT wanita ini bukan calang-calang. Biarpun bertubuh kecil beliau mampu mengangkat beban separuh daripada berat badannya.
Bayangkan, Nor Syazwani Nor Azman yang merupakan pekerja ladang di kelapa sawit berupaya mengangkat tandan buah itu seberat antara 20 hingga 25 kilogram (kg).
ARTIKEL MENARIK:Pernah Bergelar Jutawan, Johari Ceritakan Bagaimana Dia Boleh Jatuh Terduduk Hingga Hidup Gelandangan
Nampaknya memiliki berat badan 40kg dan bertubuh genit bukan halangan untuk melakukan kerja-kerja di kebun kelapa sawit yang kebiasaannya dilakukan golongan lelaki.
Wanita berusia 20 tahun itu dikatakan membanting tulang empat kerat mencari pendapatan dengan mengambil upah di ladang kelapa sawit di Felda Pasoh 4, Jelebu, Negeri Sembilan.
Mula ‘berkenalan’ dengan kerja-kerja di ladang sawit pada usia 15 tahun, difahamkan setiap hari Nor Syazwani akan memulakan rutin seawal jam 8 pagi.
Antara tugas hakikinya mengangkat dan meletakkan tandan buah sawit seberat antara 15 hingga 30kg di tempat disediakan.
Dikatakan anak kedua daripada sembilan beradik itu tidak dapat menyambung sesi persekolahan atas sebab tertentu.
Bagaimanapun, dek semangat yang tinggi untuk membantu keluarga berbekalkan kebolehan dimiliki Nor Syazwani sanggup bekerja di ladang sawit.
Tutur beliau, sakit badan selepas bekerja di ladang adalah normal dan kadangkala meminta bantuan ibu mengurutnya untuk kelegaan.
Selain kerja di kebun kelapa sawit, anak muda itu juga membantu bapanya membina dan membaiki rumah. Nor Syazwani sedikitpun tidak kekok memanjat untuk memasang dan membaiki atap rumah.
Bukan itu sahaja, beliau turut mempunyai kemahiran menebar roti canai dan pernah membantu ibu berniaga makanan di gerai.
Menurut ibunya, Mastura Masran, 39, Nor Syazwani memang gemar melakukan kerja lasak.
Malah, tidak berasa pelik apabila anaknya berupaya melakukan kerja yang sering dibuat orang lelaki.
“Kebiasaan anak gadis yang tinggal di tanah rancangan Felda akan membantu ibu bapa bekerja di ladang,” kata Mastura ringkas.
Kisah Nor Syazwani mengagumkan, bukan? Semoga ia menjadi inspirasi kepada anak muda khususnya untuk terus berusaha melakukan apa saja kerja dengan kudrat dikurniakan ALLAH.
Kredit -BERNAMA via Sinar Plus
إرسال تعليق