KEHILANGAN insan tersayang akibat wabak Covid-19 memang meragut jiwa.
Apatah lagi kekangan pandemik ketika ini menyukarkan kita untuk melihat wajah orang-orang yang disayangi pada detik terakhir.
ARTIKEL MENARIK:10 Golongan Wanita Yang Dilaknat Allah
Sesungguhnya, mereka yang diuji kehilangan ahli keluarga khususnya ibu, bapa dan adik beradik sekelip mata memang cukup berat untuk ditanggung.
Melihat jumlah kes yang semakin meningkat dan kadar kematian semakin tinggi, timbul persoalan dalam kalangan warga maya yang bertanyakan kematian akibat wabak virus korona itu dianggap mati syahid atau tidak.
Menjawab persoalan itu, agamawan terkemuka, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkongsi jawapannya.
SinarPlus percaya, perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dipaparkan dalam @videodakwah.my itu barangkali boleh mengubat kesedihan mereka yang kehilangan ahli keluarga.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, menerusi satu hadis sahih, terdapat lima golongan yang dianggap sebagai mati syahid, salah satunya terkena wabak taun.
“Maka, terkena wabak Covid-19 ini juga termasuk insya-ALLAH jika menepati syarat-syaratnya seperti asalnya orang Islam, maka dia juga dianggap sebagai syahid.
“Itulah yang kita harapkan,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Dalam @videodakwah.my itu juga ada dikongsikan enam keistimewaan orang mati syahid iaitu:
1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar.
2. Melihat tempatnya di dalam syurga.
3. Dilindungi daripada azab kubur.
4. Terjamin keamanannya daripada malapetaka besar merasakan kemanisan iman.
5. Dikahwinkan dengan bidadari.
6. Diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya.
Begitulah kelebihan-kelebihan mereka yang pergi akibat virus Covid-19.
Memang benar, kesedihan dan kepiluan kehilangan insan tersayang sukar untuk dibendung dengan mudah.
Namun, ubatinya dengan menitipkan doa dan membaca ayat suci al-Quran untuk menenangkan jiwa.
Jangan lupa untuk sama bersedekahkan kepada mereka yang sudah tiada.
Semoga ALLAH SWT sentiasa melindungi kita dan menamatkan segera ujian yang begitu berat ini kepada manusia sekian alam. Amin.
Kredit -Sinar Plus.
Post a Comment