PETALING JAYA – Menikahi pasangan yang teruji dengan penyakit kritikal bukanlah satu pilihan, barangkali takdir.
Tinggal lagi, pengorbanan dan kasih sayang menjadi bahagian melalui hari-hari mendatang. Itu yang dilalui penyanyi Ashira Aziz dan suaminya, Bad Indigo kini.
ARTIKEL MENARIK:Ali Puteh akui bahawa bondanya langsung tidak bersemuka dengan balu Abam mahupun cucunya, ini luahan sedih Ali Puteh
Sempena ulang tahun kelahiran suami tercinta, Bad yang ke-46 hari ini, Ashira berkongsi ucapan dan doa istimewa untuk lelaki itu supaya sentiasa kuat menghadapi dugaan hidup.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Ashira atau nama lengkapnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, turut mengakui reda dengan setiap dugaan yang telah diatur oleh Allah SWT untuk dia dan juga suami.
“Hidup kita mungkin tidak berjalan seperti apa yang dirancang. Tapi perjalanan hidup ini berjalan seperti mana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Apa-apa pun, Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Jadi kita harus terus berdoa. Semoga diberikan kesembuhan sepenuhnya, panjang umur, diperluaskan pintun rezeki dan bahagia dunia akhirat,” tulis pelantun lagu Di Ombak Resah itu untuk suaminya.
Menerusi hantaran itu juga, bekas peserta program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu turut mencoretkan ucapan rasa sayang dan cinta terhadap suaminya.
“Ya Allah, jagalah dia. Kuatkan hati dan fikirannya, tubuh dan jiwanya. Permudahkan segala urusannya seperti yang Engkau mahukan. Amin.
“Selamat hari jadi. Sayang sayang awak,” kata Ashira yang turut berkongsi sekeping gambar suaminya lengkap berbaju Melayu putih ketika majlis akad nikah mereka pada Mac lalu.
Sekadar info, dua minggu selepas mendirikan rumah tangga, Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kirinya.
Bad kemudian dimasukkan sekali lagi ke hospital pada 9 Mei bagi menjalani pembedahan memotong tiga lagi jari kaki bagi mengelakkan bakteria daripada merebak.
Bagaimanapun pada September lalu, semua jari kaki sebelah kiri anggota kumpulan Indigo itu terpaksa dipotong akibat kencing manis kronik. Malah penyanyi itu mengakui, memerlukan wang yang banyak untuk rawatan susulan. – K! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
إرسال تعليق