Pelawak dan usahawan, Shuib mengakui emosinya masih belum pulih sepenuhnya selain sukar mengawal perasaan setiap kali terkenangkan isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang pergi mengadap Illahi pada 9 Ogos lalu.
Menurut Shuib, sejak pemergian isteri, emosi menjadi antara perkara yang paling sukar dirawat meski Allahyarham sudah pergi lebih dua bulan lalu.
ARTIKEL MENARIK:Harith Iskander Beri Respon Insiden Wanita Asing Tak Mahu Pakai Pelitup Muka Di Butik Mewah
“Saya akui kesukaran yang saya hadapi sepanjang bergelar bapa tunggal ini adalah emosi. Saya rasa itu yang paling susah untuk saya. Saya tengok anak-anak saya, Alhamdulillah emosi mereka stabil tapi saya berbeza.
“Ketika hayatnya, saya buat hampir semua benda dengan Sarah. Saya banyak kongsi hal kerjaya dan juga perniagaan dengannya. Contohnya kalau ada masalah dalam perniagaan atau peribadi, saya rujuk dengan dia dan begitu juga sebaliknya.
“Jadi bila dia tiada, saya tak tahu mahu rujuk pada siapa. Sampai sekarang, bila saya ada masalah, saya tak cakap dengan orang walaupun dengan mak atau mentua saya.
“Apa yang mampu saya lakukan untuk mengawal emosi saya adalah dengan pergi ke kubur dan berkongsi dengannya,” katanya.
Jelasnya lagi, dia akan menziarahi kubur isterinya setiap Isnin dan Jumaat untuk berkongsi setiap apa yang terbuku di dalam hati selain masih berehat panjang.
“Setiap minggu saya akan berjumpa doktor peribadi yang menjaga Sarah dulu untuk memeriksa kesihatan saya. Lebih kurang pakar psikiatri bagi memantau keadaan kesihatan mental saya.
“Ini kerana kesihatan mental ini berkait rapat juga dengan emosi dan badan kita. Namun, saya bersyukur saya ada keluarga yang sangat baik untuk bantu menjaga anak-anak saya.
“Alhamdulillah sekarang ini kami juga buat apa yang kami tak pernah buat sebelum ini seperti mengaji al-Quran setiap malam dan solat berjemaah.
“Jadi perkara seperti itulah yang sangat membantu kesihatan mental saya,” katanya lagi yang turut berkongsi perkembangan anak bongsu, Ayash Affan.
“Ayash adalah anak yang sangat luar biasa. Saya tiada masalah langsung kerana mudah jaga, tak banyak merengek dan bayi yang sangat baik.
“Alhamdulillah, dia juga menunjukkan perkembangan kesihatan yang sangat baik. Dia dilahirkan seberat 1.8 kilogram (kg) dan kemudian saya ambil dia ketika beratnya 2.6 kg dan kini beratnya sudah 4.1 kg,” katanya.
Untuk rekod, Ayash dilahirkan pada 6 Ogos lalu melalui pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu tiga hari sebelum arwah Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat Covid-19.
Siti Sarah meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), HCTM, UKM pada jam 5.13 pagi, 9 Ogos lalu.
Allahyarham meninggalkan suami dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash, 2 bulan.
Kredit -Media Hiburan.
Post a Comment