Alor Setar: “Sudah nampak ada cahaya untuk membela kematian arwah anak saya, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan untuk kes Adib,” kata Mohd Kassim Abdul Hamid, 65.
Bapa Muhammad Adib ini berkata, usaha kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh kes arwah adalah berita yang sangat baik dan gembira untuk mereka sekeluarga.
ARTIKEL MENARIK:PM Umum Aktiviti Rentas Negeri Dibenarkan Bermula Esok
Katanya, dia sangat berharap akan ada keputusan menyebelahi Allahyarham anaknya selepas jawatankuasa khas itu ditubuhkan.
“Sekiranya kerajaan tubuh jawatankuasa khas untuk siasat secara menyeluruh dan telus kes anak saya, biarlah lakukan secara bersungguh-sungguh.
“Kita tak mahu ada jawatankuasa khas sahaja tapi selepas itu menyepi, rakyat Malaysia tertunggu-tunggu dari dulu lebih-lebih lagi kami sebagai ibu bapa Allahyarham,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ia turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.
Mohd Kassim yang pesawah berkata, penubuhan jawatankuasa ini membuatkan perasaannya sedikit lega selain turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak henti mendesak kerajaan terus melakukan siasatan sebelum ini.
Katanya, sebagai seorang bapa dia tidak pernah putus berdoa biarpun sudah tiga tahun anaknya meninggal dunia.
Muhammad Adib parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).
Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Sumber : HM via KHALIFAH MEDIA NETWORKS
إرسال تعليق