KUALA LUMPUR – Pernah dibenci dan dihina masyarakat gara-gara kontroversi bersama kakak iparnya, kini sudah ada yang merindukan kelibat pelawak Ali Puteh di kaca televisyen.
Bakal bertanding dalam program Muzikal Lawak Superstar musim ke-4 (MLS4) bersama kumpulan Puteh, kata Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzian, 35, dia pernah lalui fasa dicemuh masyarakat sewaktu menyertai pertandingan lawak beberapa tahun lalu.
ARTIKEL MENARIK:“Jangan Promote Lah, Beli Senyap-Senyap Jelah..” – Dr Say Teruk Dikecam, Promosi Produk Jenama ‘Boikot’
“Dulu bila saya muncul di kaca televisyen, orang akan cakap muka ini lagi. Tak ada muka lain ke. Tak habis-habis dia ni.
“Sekarang pandangan orang ramai sudah mula berubah. Ramai yang sudah mula menyokong saya untuk kembali berlawak di kaca televisyen.
“Bila saya buat siaran langsung dalam TikTok beritahu akan sertai MLS4, ramai beritahu mereka akan sokong dan menonton persembahan saya,” katanya kepada Kosmo Online.
Untuk MLS4, Ali bakal bergandingan dengan Man Raja Lawak serta Aya Amiruddin sebagai satu kumpulan.
Kata adik kepada Allahyarham Abam Bocey itu lagi, bidang seni kini bukan lagi menjadi keutamaannya, sebaliknya dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan.
“Kini saya 100 peratus tumpukan perhatian kepada bisnes. Saya rasa bidang perniagaan lebih menjamin masa depan untuk saya menyara keluarga.
“Jika sebelum saya dilanda kontroversi, memang bidang seni adalah punca pendapatan utama saya. Tetapi untuk saya kembali mendapat peluang seperti dahulu, agak susah.
“Jadi kenapa perlu saya tinggalkan perniagaan yang telah saya bina dengan baik semata-mata untuk kembali mengejar populariti? Saya rasa tak perlu,” jelasnya.
Namun kata juara Maharaja Lawak Mega 2019 ini, dia tidak akan menolak sekiranya ada tawaran kerja untuknya dalam bidang seni kerana cintanya masih belum pudar.
Ali akan berentap bersama sembilan lagi kumpulan lain dalam MLS4 yang akan bersiaran bermula 22 September setiap Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Warna.
Kredit -Kosmo Digital.
Post a Comment