Atlet tenpin boling bergelar pelakon, Syaidatul Afifah cuba sesuaikan diri
loading...

JIKA sebelum ini aksi lincahnya dapat dilihat di trek boling, kini sebaliknya apabila dia beralih untuk berada di depan kamera.

Atlet tenpin boling bergelar pelakon, Syaidatul Afifah cuba sesuaikan diri



Itulah perjalanan baharu bekas atlet boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi atau lebih mesra disapa sebagai Afifah selepas mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan tersebut pada September tahun lalu.

ARTIKEL MENARIK:“I love you bapak, bapak pergi dulu nanti Ebit sampai”- Bapa Ebit meninggal dunia
loading...


Lebih sedekad mengungguli sukan boling dan mengharumkan nama negara dalam pelbagai kejohanan dunia, wanita berusia 30 tahun itu kini memburu misi baharu untuk menimba pengalaman berbeza dalam hidupnya.

Salah satu daripadanya dengan bergelar pelakon setelah menerima tawaran penerbit JS Pictures, Sheila Rusly, membintangi drama Ratu Ten Pin.

“Saya sebenarnya tidak pernah terfikir pun akan menjadi pelakon, namun pelawaan Sheila untuk saya tampil dalam drama Ratu Ten Pin mengubah segala-galanya.

“Secara jujurnya saya tidak pandai berlakon dan ini merupakan pengalaman pertama saya beraksi. Bagaimanapun saya mengambil cabaran itu kerana drama ini mengangkat tema sukan boling.

“Tentulah rugi jika saya tidak gunakan peluang ini untuk mengajak orang ramai mendekati sukan boling,” ujarnya.


 



Afifah seronok berkongsi ilmu sukan boling ketika membintangi drama Ratu Ten Pin.

Berkongsi pengalamannya menjayakan watak sebagai Sandra dalam drama 16 episod yang disiarkan di Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam itu, Afifah berkata, dia banyak mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada Shiela Rusly sendiri, selain rakan pelakon terlibat.

“Sebagai pelakon baharu yang tidak ada asas lakonan, bukan mudah untuk saya. Apatah lagi watak Sandra adalah antagonis yang perlu bermain dengan pelbagai emosi.



loading...


“Bagaimanapun saya bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada Sheila, selain rakan pelakon yang banyak membantu sepanjang penggambaran.

“Kami saling menyokong di mana saya membantu mereka dari segi pengetahuan dan teknik bermain boling, sementara mereka pula mengajar saya dalam lakonan,” katanya.

Mengakui gementar sebelum masuk ket set drama tersebut, Afifah menyangka Sheila seorang yang garang dan sukar untuk didekati.

“Sebelum masuk ke set, ada pihak cuba menakutkan saya dengan mengatakan Sheila seorang yang garang ketika bekerja.

“Namun sebaliknya berlaku sepanjang kami bekerjasama dan persepsi orang luar itu langsung tidak sama dengan apa yang saya lalui.

“Saya gembira bekerja dengan JS Pictures di mana kami sangat rapat dan seperti satu keluarga ketika di set penggambaran,” akuinya.

Mahu tubuh akademi boling

Meski seronok dan berpuas hati dengan pengalamannya dalam bidang lakonan, selebriti kelahiran Ipoh, Perak itu bagaimanapun, tidak berhasrat menjadikannya sebagai kerjaya utama.

“Kalau ada rezeki dan tawaran untuk watak serta cerita yang sesuai, mungkin saya akan berlakon lagi selepas ini.

“Bagaimanapun saya mempunyai perancangan sendiri dalam masa lima tahun ini iaitu untuk menubuhkan sebuah akademi boling bagi remaja berusia 18 tahun ke bawah,” katanya.

Dalam pada itu, Afifah yang juga merupakan salah seorang pengacara di saluran Astro Arena, mengharapkan agar sukan boling terus diketengahkan untuk menarik perhatian masyarakat terhadap sukan itu.

Sepanjang bergelar atlet tenpin negara, Afifah pernah memenangi pingat emas berpasangan wanita di Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, Thailand, pingat emas berpasukan wanita di Kejohanan Boling Dunia 2017 (Las Vegas, Amerika Syarikat), pingat emas trio berpasukan Wanita di Sukan Asia 2018 (Palembang, Indonesia) dan lain-lain.

“Saya harap selepas ini sukan boling akan lebih mendapat perhatian ramai sebagaimana sukan-sukan lain.

“Mungkin ramai tidak tahu, sukan boling juga antara penyumbang pingat yang banyak untuk negara dalam kejohanan antarabangsa.

“Apa pun saya berterima kasih kepada JS Pictures kerana sudi mengangkat sukan boling dalam karya mereka, sekali gus memberi memberi pendedahan lebih meluas kepada sukan ini,” katanya.


Kredit -Sinar Plus.

-----------------------------------------------------------------
 
loading...

Post a Comment

Previous Post Next Post