Beringat walau kini mewah, langit tidak selalu cerah
BENAR kata orang, hidup ini ibarat roda. Ada ketika kita di atas dan kadangkala berada di bawah.
ARTIKEL MENARIK:Nor Syazwani Mampu Angkat Tandan Sawit Seberat 30kg, Baiki Bumbung, Mahir Tebar Roti Canai
Begitu juga dengan perihal rezeki, kadangkala ia datang tanpa diduga dan pergi tanpa perlu dikesali.
Itu apa yang pernah dihadapi sendiri wanita berusia 43 tahun ini yang secara tidak langsung telah mengubah 360 darjah putaran hidupnya.
Menyorot kembali kisah lama, Nor Riza Ya, 43, berkata, sebelum ini boleh dikatakan dia pernah berada di
kemuncak kejayaan apabila bergelar pereka hiasan dalaman.
Ceritanya, bukan setahun dua dia berkecimpung dalam bidang hiasan dalaman, namun lebih sedekad menjalankan perniagaan tersebut bersama suami tercinta.
NOR RIZA sebelum ini adalah pereka hiasan dalaman namun pandemik Covid-19 telah menyebabkan perniagaan yang diusahakannya sebelum ini terjejas dan kini dia bangun dan mencuba perniagaan berasaskan pertanian.
“Jujur saya katakan, waktu bekerja sebagai perunding hiasan dalaman dahulu memang pulangan yang kami terima agak lumayan dan boleh mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.
“Namun, langit tidak selalu cerah. Begitu juga dengan perniagaan yang kami bangunkan. Sejak pandemik maut Covid-19 ‘membadai’ dunia, ia seakan-akan menjadi garisan penamat buat kami.
“Bayangkan perniagaan yang diasaskan lebih 10 tahun itu hilang ‘sekelip mata’ selepas tidak
dapat menampung kos operasi syarikat dan membayar gaji pekerja,” ungkapnya membuka bicara bersama Aura.
Meneruskan perkongsian, ibu kepada enam cahaya mata ini mengakui, dia pernah hampir putus asa untuk meneruskan hidup dan buntu sebelum bertemu jalan penyelesaian.
DORONGAN dan sokongan keluarga terutama suami, membuatkan Nor Riza terus bersemangat memacu perniagaan yang diceburinya kini.
Puas memerah otak memikirkan apa cara dan kerja yang boleh dilakukan demi mencari sesuap nasi, Nor Riza berkata, dia tiada pilihan selain mencabar diri melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Ketika itu macam-macam perkara saya dan suami fikir untuk jana semula pendapatan dan meneruskan hidup lebih-lebih lagi kami ada anak kecil.
“Entah bagaimana, saya dapat satu idea untuk mengolah dan mencipta baja sendiri memandangkan pada masa itu ada menamam beberapa jenis tanaman di sekitar kediaman.
“Jadi, bermula tahun lalu, saya melakukan pelbagai uji kaji ke atas baja tanaman yang saya hasilkan sendiri hingga berjaya dipasarkan Januari lalu,” katanya.
Ujar wanita cekal itu lagi, dia langsung tidak pernah terfikir untuk terjun dan bergelumang dengan tanah,
tinja serta bahan-bahan lain yang boleh disifatkan ‘kotor’ bagi sesetengah orang sebagai punca pendapatan utama ketika ini.
Jelas anak kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang itu lagi, hasil usaha dan penat lelahnya dalam membina jenama perniagaan baharunya itu, dia kini mampu tersenyum sebagai tanda syukur.
Katanya, perniagaan yang diterajuinya itu sedikit sebanyak membantu orang lain menjana pendapatan terutama bagi mereka yang terjejas teruk akibat pandemik.
“Alhamdulillah, saya gembira dapat berkongsi rezeki dengan ramai orang tidak mengira status ataupun latar belakang.
“Tidak sampai setahun, Nleygrow yang dirumus 100 peratus menggunakan bahan organik diperkenalkan, saya berjaya merekrut lebih daripada 100 orang ejen dan menyasarkan pertambahan kepada 500 pengedar menjelang hujung tahun ini,” jelasnya.
Menutup bicara, Nor Riza berkata, apapun ujian dan dugaan yang menimpa, jangan sesekali mengalah dan putus harapan demi mengejar cita-cita yang diimpikan.
Kredit - Kosmo Digital.
Post a Comment