BAPA kepada Allahyarham Siti Sarah, Raissudddin Hamzah, 61, mengakui dunianya terasa begitu sepi, saat menerima berita kehilangan puteri kesayangannya akibat Covid-19, pada Isnin lalu.
Malah luah Raissuddin, tiada kata-kata mampu menterjemah isi hatinya tatkala menerima takdir tertulis buat anaknya itu.
ARTIKEL MENARIK:[VIDEO] “Ibu Dah Dekat Syurga” – Shuib Sebak Beritahu Anak-Anak
“Shuib datang jumpa saya di bilik dengan senyum di wajahnya. Dia berlutut depan saya dan beritahu mahu ke hospital.
“Dia kata lagi, Siti (Sarah) sudah tiada abah. Saya rasa dunia ini menjadi sepi, sesepinya.
“Kalau saya nak bagitahu macamana perasaan ketika itu, saya tidak pandai nak ceritakan bagaimana. Saya rasa anda semua mungkin boleh faham situasinya,” kongsi Raissuddin menahan sebak ketika selesai majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya untuk Allahyarham Siti Sarah pada Selasa.
Bagaimanapun penyanyi popular era 1980an itu berkata, dia reda dengan apa yang berlaku dan percaya ia adalah ketentuan yang telah ditetapkan untuk Allahyarham anaknya.
“Bagi saya ia adalah ketentuan yang sudah ditetapkan oleh ALLAH. Bukan rancangan kita dan bukan rancangan siapa-siapa. Inilah yang dikatakan takdir, ketentuan dan nasib.
“Tiga perkara yang bunyinya seperti berbeza tapi ia sebenarnya adalah perkara sama tentang ketentuan daripada ALLAH,” ujarnya.
Raissuddin yang pertama kali mengulas tentang pemergian anaknya kerana baru sahaja tamat menjalani kuarantin selepas turut dijangkiti Covid-19 baru-baru ini turut memohon orang ramai agar terus mendoakan Allahyaraham Siti Sarah.
“Saya harapkan agar kita sama-sama dapat doakan dia. Semoga dia tenang di sana.
“Kita hanya dapat mengenang sahaja kerana dia tidak akan kembali lagi,” luahnya.
Berkongsi tentang keperibadian Allahyarham Siti Sarah yang disenangi ramai sehingga segala kebaikannya tidak putus-putus diperkatakan, Raissudin mengakui, Allahyarham seorang anak yang taat dan manja.
“Dia seorang anak yang cukup baik, tidak pernah membantah atau melawan cakap saya, malah akan mengikut apa sahaja yang saya kata.
“Dari awal bergelar penyanyi, masuk studio rakaman dan sebagainya, saya yang menjaga dan memberi panduan kepadanya. Dia memang tidak pernah berenggang dengan saya dan sangat manja.
“Selepas dia berjumpa dengan Shuib, barulah saya lepaskan dia untuk dijaga oleh Shuib pula,” jelasnya.
Siti Sarah Raissudin, 36, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.13 pagi Isnin lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.
Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad pada tahun 2011. Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada Isnin.
Kredit -Sinar Plus.
إرسال تعليق