Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca.
Saya nak kongsikan pengalaman saya sewaktu bercuti di rumah saudara di Linggi, Negeri Sembilan beberapa tahun lalu. Peristiwa itu sehingga kini masih melekat di fikiran dan membuatkan saya tertanya-tanya apakah yang berlaku pada hari itu benar atau sebaliknya?
ARTIKEL MENARIK:[VIDEO] ‘Ustaz’ Ini Dedah Rakaman Didakwa Makhluk Halus Bermata Merah & Tinggi Buat Netizen Seriau
Saya ada saudara di Linggi, tak ingat sangat bagaimana ada pertalian dengan mereka kecuali semuanya sudah tua dan beruban. Saya dan abang saya datang melawat mereka semasa cuti. Bagi seorang kanak-kanak yang berasal dari bandar, ia bagaikan satu kejutan budaya. Udaranya yang sejuk, bunyi kicauan burung sepanjang masa, jeritan monyet di sebalik hutan hijau dan dialek penduduk yang tidak begitu difahami.
Tidak banyak aktiviti yang dapat dilakukan selain merayau di hutan atau pergi berjalan di pasar. Rumah yang kami duduk itu adalah rumah tradisional (rumah kayu + tiang tinggi). Saya pernah mengintip melalui celah papan lantai kayu ke bawah tanah bila ternampak sesuatu yang sedang bergerak, menakutkan juga.
Saudara mara melarang kami keluar pada waktu malam, kononnya ada hantu yang berkeliaran di luar rumah. Kalau berdegil, kami akan diculik oleh hantu. Kisah seperti ini kita semua pernah dengar sebelum ini. Tetapi kali ini, kisahnya mungkin berlainan.
Nenek saudara saya kebiasaannya akan mengumpul sisa makan malam di atas daun pisang dan diletakkan di luar pintu belakang rumah. Bila saya bertanya, apakah makanan itu untuk anjing? Dia sekadar menggelengkan kepala dan enggan menjelaskan lebih lanjut. Pintu belakang pula ditutup dengan parang besar.
Hairan dengan perbuatannya itu, saya menghabiskan beberapa malam menunggu di pintu itu dan berharap dapat mendengar sesuatu yang datang untuk makan sisa makanan tersebut. Pernah terdengar bunyi sesuatu di sebalik pintu, tetapi tiada apa-apa. Namun di sebelah pagi, sisa makanan itu hilang.
Pada satu malam, ada sesuatu yang berlaku. Keadaan di luar gelap, hanya ditemani cahaya bulan yang mengubah segala-galanya menjadi hitam putih. Terdengar bunyi loceng dari kuil berdekatan diketuk beberapa kali. Katanya ada orang gila yang sedang membunyikan loceng tersebut.
Tidak lama kemudian datang seorang wanita mengetuk pintu depan rumah kami. Dia datang dari bandar, dia kelihatan bingung dan letih. Jelasnya, dia dan suaminya sedang dalam perjalanan ke destinasi melalui lebuhraya berhampiran. Tiba-tiba kenderaan mereka rosak. Jalan raya pula gelap dan sunyi, tiada apa-apa di sekeliling kecuali hutan. Kawasan yang paling dekat adalah pekan Linggi.
Menurutnya, suami sedang menunggu di kereta sementara dia datang untuk mencari mekanik atau trak tunda untuk meminta bantuan. Sebaik saja mendengar penjelasan wanita itu, wajah saudara mara saya menjadi pucat. Mereka terus mengumpul semua penduduk. Kanak-kanak yang sedang tidur dikejutkan, makan malam terganggu dan radio ditutup. Semua lelaki diarahkan berkumpul dengan membawa parang dan kayu sebagai senjata.
Seorang lelaki tua (Melayu) memberitahu wanita berkenaan bahawa adalah satu kesilapan meninggalkan suaminya bersendirian di jalan yang gelap. Mereka perlu pergi ke tempat itu bersama dengannya untuk mendapatkan semula suaminya.
Sebagai remaja, saya dibenarkan mengikuti mereka. Dalam perjalanan itu, saya sempat bertanya kepada saudara-mara, apa sebenarnya yang berlaku? Tetapi mereka meminta saya mendiamkan diri. Hal itu membuatkan saya berasa tidak sedap hati dan berfikir saya bakal menyaksikan sesuatu yang buruk berlaku. Saya rasa kami semua yang ada pada ketika itu mesti berfikir perkara yang sama.
Semakin hampir ke lokasi, kami ternampak cahaya lampu kereta pasangan berkenaan. Kami melangkah keluar dari hutan dan pergi mendekati kenderaan itu. Apabila sudah berada dalam jarak yang agak dekat, kami ternampak seorang lelaki kelihatan terbaring tidak bernyawa di tepi kereta dan ada sesuatu yang sedang duduk di atas badannya.
Pada awalnya saya menyangka makhluk itu adalah monyet berwarna putih, berbulu panjang dan kusut. Sebaik saja mahkluk itu mendongakkan kepala, baru saya sedar makhluk itu adalah seorang wanita dengan wajahnya yang amat mengerikan dan mulutnya berdarah. Begitu juga dengan leher lelaki itu.
Si isteri mula menjerit, kami yang juga menyaksikan kejadian itu kaku sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Makhluk itu tidak mengendahkan kami dan menyambung menjamah mangsanya. Ketika itulah si lelaki tua itu mengeluarkan Al-Quran dan mula membaca beberapa ayat yang saya tidak fahami. Saya masih terpaku melihat makhluk tersebut mengunyah dan menjilat mangsanya.
Bacaan lelaki tua itu tadi membuatkan makhluk tersebut berhenti dan memandangnya. Ia seolah-olah berkata sesuatu dan merayu agar lelaki tua itu berhenti dari meneruskan bacaannya. Makhluk itu ketakutan dan menangis sebelum melarikan diri masuk ke dalam hutan dan hilang dalam kegelapan. Sesekali dia sempat memandang ke arah kami.
Tidak beberapa lama kemudian, kawasan itu diterangi dengan cahaya lampu dari kereta polis dan ambulans. Orang ramai berbisik antara satu sama lain. Salah seorang saudara menghantar kami pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan itu, tiada seorang pun yang bercakap.
Itulah kejadian yang saya nampak Linggi yang sehingga kini saya masih mempersoalkannya apa yang saya lihat pada malam itu adalah benar atau sebaliknya? Adakah saya melihat makhluk yang disebut sebagai pontianak? Atau saya melihat seorang wanita gila yang tinggal di dalam hutan? Atau kedua-duanya mungkin?
Di malam yang lain, saya bermimpi duduk berdekatan dengan pintu belakang rumah, menunggu 'sesuatu' datang untuk makan sisa makanan yang diletakkan di luar pintu. Pintu belakang terbuka, terdengar bunyi yang amat mengerikan sedang mengunyah sesuatu. Apabila diintip, saya ternampak satu sosok badan berambut kelabu sedang mencangkung di atas lantai sambil perlahan-lahan mengunyah tulang ayam.
Sumber: Reddit Rajjiv via The Reporter
إرسال تعليق