Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen bagi tahun 2021, tengah hari ini.
Pengumuman ini cukup signifikan memandangkan beberapa perkembangan dijangka mempengaruhi pulangan dividen badan itu, yang kali ini dijangka tinggi.
ARTIKEL MENARIK:Cara Mohon Dan Semakan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)
Ia termasuk prestasi Bursa Malaysia sepanjang 2021, penutupan ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pengeluaran wang simpanan melalui beberapa inisiatif termasuk i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.
Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, KWSP dijangka mengumumkan dividen tinggi sekitar 5.2 hingga 6 peratus susulan pelaburan kasar tinggi dan prestasi pasaran modal yang lebih baik.
Tambahnya pelaburan kasar KWSP sepanjang sembilan bulan 2021 adalah 7.7 peratus lebih tinggi tahun ke tahun pada RM48.02 bilion, berbanding tempoh sama tahun 2020.
“Dari segi itu, ada kemungkinan kadar dividen boleh lebih baik daripada 2020. Saya fikir ia sekurang-kurangnya sepadan dengan paras 2020, jika tidak lebih baik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
KWSP pada 2020 mengumunkan dividen 5.2 peratus dengan jumlah bayaran berjumlah RM42.88 bilion bagi simpanan konvensional dan 4.9 peratus bagi simpanan shariah melibatkan nilai bayaran RM4.76 bilion.
Selain itu Afzanizam berkata peluang untuk dividen lebih tinggi adalah cerah susulan laporan kewangan korporat suku keempat yang lebih baik.
Malah tindakan KWSP mempelbagaikan portfolio pelaburan ke pasaran luar negara termasuk pendapatan daripada ekuiti asing menjadikan sumbangan pendapatan amat signifikan untuk tahun ini.
Selain itu kedudukan ekonomi 2021 yang lebih baik termasuk data pengangguran yang berkurangan kepada 4.2 peratus pada DIsember 2021 berbanding 5.3 peratus pada pertengahan 2020, turut menjadi pemacu utama.
Sumber – BERNAMA via MALAYSIA GAZETTE via
Post a Comment