HULU TERENGGANU – Seorang ibu warga emas tidak menyangka anak perempuannya yang dahulu bekerja sebagai pensyarah kini terlantar akibat kanser payudara tahap empat.
Senah Mat Zin,72, berkata, kanser itu telah merebak ke tulang paha kanan Noorain Farhanah Abdul Ghani, 36, sehingga terpaksa dipotong pada Ogos tahun lalu.
ARTIKEL MENARIK:Terkejut tiba-tiba ‘lembaga’ muncul tengah jalan, pegang parang lompat atas bonet! Pemandu terus masuk ‘mode turbo’
“Sebelum ini, dia yang merupakan anak kelima daripada enam beradik merupakan pensyarah di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah.
“Pada mulanya, tahap kesihatannya terganggu akibat terjatuh pada Mac tahun lalu sebelum pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mengesahkan dia menghidap kanser payudara tahap empat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tersat, Ajil di sini baru-baru ini.
Senah berkata, kanser itu kemudian merebak sehingga paha kanan Noorain Farhanah yang merupakan ibu tunggal itu terpaksa dibuang menerusi pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan lapan bulan lalu.
Tambah wanita warga emas itu, tulang paha sepanjang 12 sentimeter tersebut terpaksa digantikan dengan besi.
“Sejak itu, Noorain Farhanah hanya terlantar di atas katil dan memerlukan penjagaan khas, selain memakai lampin pakai buang.
“Kebajikan anak perempuan tunggalnya, Ade Nur Ariyana Abd. Fattah, 8, termasuk persekolahannya banyak diuruskan salah seorang anak lelaki saya,” katanya.
Senah berkata, perbelanjaan bulanan perubatan Noorain Farhanah termasuk membeli ubat mencairkan darah dan lampin pakai buang mencecah RM1,000 sebulan.
Tambahnya, ia belum termasuk kos menyewa ambulans dan dan inap desa setiap kali temujanji rawatan susulan di HUSM dan HSNZ.
“Setakat ini, kos tersebut masih ditampung oleh gaji penuh bulanan yang masih diterima anak saya.
“Begitupun, saya dimaklumkan gaji bulanan mungkin akan dipotong dalam tempoh terdekat ekoran sudah lama tidak bekerja,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulur bantuan menerusi akaun bank Noorain Farhanah bernombor 163037113452 (Maybank) atau menghubunginya di talian 011-255 78203.
Kredit -Kosmo Digital.
إرسال تعليق