KUALA LUMPUR – Pelakon Bella Dowanna lega kerana masih mampu berjalan dan melakukan aktiviti harian seperti biasa walaupun mengalami kecederaan pada lutut ketika menjalani latihan drama The Cadets pertengahan bulan lalu.
Lebih melegakan apabila pelakon berusia 20 tahun itu masih mampu bekerja sekali gus melunaskan baki penggambaran drama tersebut yang berbaki cuma beberapa hari lagi.
ARTIKEL MENARIK:“Buat DNA Anak Ebit Ke Anak Topi” – Wanita Mulut ‘Puaka’ Fitnah Isteri Caprice Berz1na!
Bella atau nama lengkapnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim ketika ditemui Kosmo! Online dalam keadaan bertongkat berkata, hasil pemantauan doktor, kecederaan lutut yang dialaminya semakin baik, namun perlu menunggu keputusan doktor sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau tidak.
“Alhamdulillah keadaan lutut saya semakin baik. Saya dah boleh berjalan, melipatkan kaki dan menaiki tangga.
“Walaupun bertongkat, keadaan lutut saya tidak seteruk seperti sebelum ini. Namun saya perlu menjalani beberapa lagi sesi fisioterapi dan imbasan MRI untuk mengetahui keputusan sama ada lutut saya perlu dibedah atau tidak,” ujarnya.
Kata Bella, dia enggan melakukan pembedahan sebelum ini kerana tidak mahu menjejaskan penggambaran drama The Cadets sehingga mengganggu jadual pelakon lain.
“Saya tidak mahu buat pembedahan sebelum ini kerana jika lutut saya dibedah, saya memerlukan masa sekurang-kurangnya enam minggu untuk sembuh.
“Takut nanti disebabkan saya, jadual penggambaran pelakon lain yang terlibat turut terjejas,” katanya.
Ketika disoal punca kecederaan lutut yang dialaminya, pelakon drama Budak Tebing itu menganggap apa yang berlaku sudah menjadi takdir, walaupun telah berhati-hati.
“Nak salahkan diri sendiri, tak boleh juga sebab saya sudah pun berhati-hati. Benda dah nak jadi.
“Keadaan saya pun semakin baik dan akan menghabiskan beberapa hari lagi baki penggambaran,” jelasnya.
Disebabkan keadaan lututnya masih belum sembuh sepenuhnya, Bella berkata dia terpaksa ‘sekat’ beberapa tawaran lain yang telah dipersetujui sebelum ini untuk menunggu keputusan daripada doktor.
Walaupun sedih, Bella terpaksa mendahulukan kesihatannya supaya tidak menjadi beban di kemudian hari.
“Kalau ikutkan saya ada beberapa lagi ‘job’ lain yang telah dipersetujui. Tapi saya tidak boleh beri kata putus sama ada boleh teruskan atau tidak.
“Sebab lutut saya belum betul-betul baik. Kalau doktor kata kena bedah juga, saya perlu lakukannya untuk kebaikan diri sendiri,” jelasnya.
Terdahulu, Bella terpaksa dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur akibat kecederaan pada bahagian lutut kaki kanan yang dikenali sebagai meniscus tear.
Kecederaan tersebut dialami ketika dia sedang menjalankan latihan untuk drama terbaharu berjudul The Cadets.
Ujar Bella, ketika sedang melakukan latihan, lututnya tiba-tiba ‘meletup’ sehingga membuatkan dia terjatuh kerana berasa sakit dan menangis.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat bahagian tisu lututnya terkoyak dan disarankan untuk menjalani pembedahan. – KOSMO! ONLINE
Kredit -
إرسال تعليق