KUALA LUMPUR – Empat Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed kerana gagal hadir pada prosiding sebutan kes berkaitan lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat.
Waran tangkap itu masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Illi Marisqa Khalizan, Nurul Izzah Shaharuddin, Fatin Dayana Jalil dan Noorelynna Hanim Abd. Halim.
ARTIKEL MENARIK:Irma Hasmie Buka Mulut Isu Perkahwinan Suami Dengan Wanita Misteri
Ia selepas Norjuma dan penjamin iaitu adiknya tidak muncul dalam kamar mahkamah walaupun setelah kesnya disebut beberapa kali.
Terdahulu, kelibat bekas personaliti televisyen berusia 44 tahun itu sempat dirakam oleh lensa kamera petugas media yang menunggunya seawal pukul 8.30 pagi.
Norjuma dilihat hadir berseorangan memandu kereta mewah berwarna hitam kira-kira pukul 10.30 pagi, namun tidak memasuki petak parkir berhampiran kompleks mahkamah yang kebiasannya digunakan oleh orang awam.
Usahawan selebriti itu sebaliknya terus meletakkan kenderaan di tangga pintu utama kompleks itu menyebabkan pihak keselamatan mahkamah meminta beliau mengalihkannya ke tempat yang disediakan.
Norjuma kemudian berpatah balik ke keretanya sambil melambai tangan kepada petugas media sebelum dilihat beredar dari kompleks mahkamah.
Terdahulu ketika kesnya disebut di hadapan Illi Marisqa, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan memohon waran tangkap dikeluarkan selepas Norjuma tidak muncul meskipun selepas kesnya disebut sebanyak tiga kali.
“Sekarang sudah pukul 11.21 pagi namun tertuduh, penjamin mahupun peguamnya tidak muncul dan saya memohon waran tangkap dikeluarkan kepadanya,” ujar beliau.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan tarikh 26 Julai ini bagi sebutan waran tangkap.
Tarikh-tarikh lain bagi sebutan waran tangkap juga ditetapkan pada 29 dan 30 Julai serta 2 Ogos ini.
Pada 25 April lalu, usahawan tudung tersebut mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan mencederakan tiga individu dan melakukan khianat,
Mengikut pertuduhan pertama, Norjuma didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Afiq Ismail, 34, di premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang di sini pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.
Pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan dengan menendang betis kaki kiri seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara di sini pada jam 3 petang, 29 Mac 2018.
Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh menyebabkan kecederaan dengan cara menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.
Tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda mencecah RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi dua lagi kes mengkhianat, wanita itu didakwa merosakkan palang keluar masuk kenderaan dan CCTV milik sebuah kondominium, dengan anggaran kerugian berjumlah RM4,700 di Taman U-Thant di sini, pada jam 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.
Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua duanya sekali. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
إرسال تعليق