Op Global: 285 barang kes Al-Arqam, gambar Ashaari dirampas di Melaka

MELAKA – Sebanyak 285 barang kes termasuk gambar bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad dan buku-buku berkaitan ajaran Al-Arqam dirampas dalam Op Global yang dijalankan di negeri ini, hari ini.

Op Global: 285 barang kes Al-Arqam, gambar Ashaari dirampas di Melaka



Rampasan itu dibuat oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang turut serta dalam operasi bersepadu diketuai pasukan polis kontinjen Melaka bermula pukul 5 pagi dan berakhir 5 petang tadi.

ARTIKEL MENARIK:Isteri datang pejabat minta suami dipecat kerana curang


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pemeriksaan telah dilakukan di 19 buah premis di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Mengikut pecahan, sebanyak 10 premis adalah dalam daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (lapan) dan satu di Jasin melibatkan tiga buah rumah persendirian, dua rumah kebajikan serta 14 premis perniagaan.

“Dalam serbuan itu JAIM telah merampas 285 barang kes iaitu 12 keping gambar Ashaari Muhammad dan 138 buah buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan oleh Fatwa Negeri Melaka termasuk Aurad Muhammadiyah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, selain itu turut dirampas adalah sekeping jadual zikir Aurad Muhammadiyah, sebuah diari dan 33 unit cakera padat berkaitan ajaran Al-Arqam serta pelbagai barangan lain.




“Tindakan dibuat mengikut bidang kuasa yang telah diperuntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 & Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam (Negeri Melaka) 2002.

“Tangkapan juga telah dibuat ke atas 11 individu berumur antara lingkungan 18 hingga 45 tahun kerana disyaki mengamalkan ajaran Al-Arqam yang telah diharamkan melalui fatwa diwartakan pada 1994 dan 2006,” ujarnya.

Kosmo! hari ini melaporkan seramai 11 individu ditahan, manakala 34 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dijalankan oleh polis kontinjen Melaka dalam dua siri serbuan, sejak pagi tadi.

Serbuan turut dilakukan di rumah amal pertubuhan, kedai bakeri, retoran, kedai langsir, pasar mini, kilang memproses kuetiau dan pejabat pengurusan.

Bagaimanapun, difahamkan kebanyakan premis yang diserbu telah dikosongkan termasuk dua buah rumah banglo yang dijadikan rumah amal pertubuhan itu di Krubong, Melaka Tengah.-KOSMO! ONLINE


Kredit -Kosmo Digital.

-----------------------------------------------------------------

Post a Comment

Previous Post Next Post