SHAH ALAM – “Kalau Zaki perlu bantuan, saya akan lakukan. Itu tanggungjawab saya.”
Demikian respons penyanyi, Datuk Jamal Abdillah yang menegaskan tidak akan melepaskan tanggungjawab pembiayaan yuran pengajian anak lelakinya, Zaki Yamani sekiranya diminta.
ARTIKEL MENARIK:‘Di sebalik ujian ada hadiah’ – Rita Rudaini penerima Anugerah Ibu Ikon
Menurut Jamal atau nama penuhnya atau Jamal Ubaidillah Mohd. Ali, 65, perkara tersebut dilihat sebagai tanggungjawabnya sebagai sebagai seorang bapa meskipun mengetahui Zaki memilih untuk membayar sendiri yuran pengajiannya di sebuah institut pengajian tinggi swasta sebanyak RM40,000.
“Sebagai seorang ayah yang tak mahu mengeruhkan keadaan dan bersabar. Saya ada tanya dia tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tiada jawapan.
“Saya dengar dia sudah belajar di sebuah IPTS. Kalau untuk belajar, saya akan tanggung cuma sebelum ini saya berhenti biaya sebab dia sudah habis sekolah,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar Konsert Amal Night of Love & Compassion di sini, hari ini.
Dalam pada itu, pelantun lagu Seroja itu juga enggan memberi tekanan kepada Zaki berkaitan hal pelajaran seperti pilihan IPT dan kursus pengajian dipilih.
“Saya ada dengar tentang Zaki sambung belajar daripada datuk dan nenek dia. Saya sendiri pun tak dapat khabar berita daripadanya.
“Saya faham situasi ini, rumah dan ibu lain. Jadi untuk tidak merumitkan keadaan dan enggan dia stres atau tertekan, saya biarkan.
“Setakat ini memang saya mengikuti perkembangan hidup mereka. Namun, kalau untuk belajar, memang saya akan tanggung,” ujarnya.
Terdahulu, dalam laporan sebelum ini, Zaki mendedahkan dia sanggup berhabis sebanyak RM40,000 untuk menyambung pengajian di sebuah IPT swasta.
Zaki juga mendedahkan Jamal juga tidak mengetahui mengenai keputusan SPM yang diperoleh kerana berasakan tiada keperluan untuk berkongsi hal tersebut dan lebih selesa hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu kandungnya. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
إرسال تعليق