Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam buku The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose.
Peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee menolak permohonan Rewcastle-Brown dengan kos RM5,000.
ARTIKEL MENARIK:Gara-Gara Serah Nama Dan Kata Laluan, Wang Berjumlah RM9,900 Lesap Dalam Bank
"Mahkamah menetapkan 4 April untuk pengurusan kes seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan,” kata peguam itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian.
Sementara itu, peguam Mervyn Lai yang mewakili Rewcastle-Brown, berkata mahkamah menolak permohonan anak guamnya selepas mendapati permohonan itu akan melucutkan hak plaintif (Sultanah Nur Zahirah) daripada mendengar dan memutuskan kesnya.
Menurut peguam itu, mahkamah juga memutuskan bahawa tiada keadaan khusus yang mewajarkan penangguhan dan isu utama adalah perkara jenayah masih di peringkat permulaan dan tidak diketahui berapa lama ia akan mengambil masa.
Berdasarkan notis permohonan yang difailkan menerusi Tetuan Tommy Thomas pada 13 Dis 2021, Rewcastle-Brown memohon perintah supaya prosiding kes saman itu ditangguhkan, sementara menunggu penyelesaian kes jenayah yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Wanita itu memfailkan permohonan tersebut atas alasan terdapat persamaan membabitkan isu dan fakta berhubung kedua-dua kes kerana ia berkaitan dengan penerbitan buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 Nov 2018, menamakan Rewcastle-Brown; penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin; dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan pertama hingga ketiga.
Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1MDB.
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.
Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan juga memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.
Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.
Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB.
-Bernama viaMalaysiakini
-----------------------------------------------------------------
إرسال تعليق