ALOR SETAR – Kemalangan maut membabitkan seorang wanita hamil dan ibunya berpunca daripada sebuah lori yang dipercayai terbabas kerana mahu mengelak sebuah motosikal di Jalan Kolon, Pokok Sena dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, dua beranak, Nadzifah Abu Seman, 28, dan Romadiah Ismail, 65, yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza maut di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
ARTIKEL MENARIK:Jangkitan Covid-19 meningkat, lebih 3,600 kes minggu lepas
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian lori tersebut dalam perjalanan dari Alor Setar ke Pokok Sena.
Kata beliau, tiga lagi kenderaan iaitu Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux pula dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu dipercayai membrek untuk mengelak sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran tidak pasti yang dikatakan masuk di hadapan laluannya.
“Lori tersebut kemudian terbabas ke kanan lalu masuk laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Bezza yang dipandu di lorong kanan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, lori itu seterusnya melintang di tengah jalan serta terbalik dan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia dan Toyota Hilux.
“Pemandu dan penumpang Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
Kredit -Kosmo Digital.
إرسال تعليق